وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
“Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, engkau berkata: Masya-Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.”
Surah Al-Kahfi, ayat 39
Kisah pemilik dua kebun ialah kisah fitnah harta. Tetapi perhatikan. Kesalahannya bukan kerana dia kaya. Kebunnya subur kerana Allah yang menyuburkannya.
Kesalahannya bermula apabila dia berkata, aku tidak menyangka kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dia lupa siapa yang memberi.
Buat seorang murabbi, fitnah ini tidak selalu datang dalam bentuk harta. Ia boleh datang dalam bentuk bulatan tarbiah yang berkembang. Program yang berjaya. Anak buah yang semakin ramai. Lalu tanpa sedar kita mula berkata, ini hasil usaha aku.
Jumaat ini, apabila melihat apa sahaja yang tumbuh di tangan kita, biasakan lidah menyebut: Masya-Allah, la quwwata illa billah.