يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنذِرْ
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran kepada umat manusia.”
Surah Al-Muddaththir, ayat 1–2
Ayat ini turun ketika Baginda masih belum pulih daripada kejutan wahyu pertama. Dalam keadaan itu, wahyu kedua datang menolak dengan dahsyat apa yang sedang Baginda lakukan. Tidur, rehat dan berselimut bukan pilihan pada saat itu. Bukan kerana rehat itu salah, tetapi kerana amanah sudah pun diletakkan di bahu.
Dan lihat betapa lembutnya seruan itu bermula. Allah menyapa dengan keadaan Baginda saat itu, wahai orang yang berselimut, sebelum memberi arahan. Tegas isinya, tetapi penuh kasih caranya.
Selepas itu Baginda mula dituduh dan difitnah oleh masyarakat Mekah. Maka Allah terus menurunkan wahyu untuk menghiburkan Baginda, supaya Baginda tahu dia tidak berseorangan dalam dakwahnya.
Buat kita hari ini, surah ini seolah-olah menemani sepanjang halangan yang menimpa. Selimut kita mungkin bukan kain. Mungkin kesibukan. Mungkin rasa belum bersedia. Mungkin menunggu orang lain bergerak dahulu.
Seruannya tetap sama. Bangunlah.