Ibrah Buat Daie: Juz 29

Sabrun Jamil: Sabar yang Indah

فَاصْبِرْ صَبْرًا جَمِيلًا

“Maka bersabarlah engkau dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.”

Surah Al-Ma'arij, ayat 5

Sabrun jamil. Sabar yang indah. Para ulama menjelaskan maksudnya: sabar yang tidak disertai keluhan kepada manusia. Bukan bermakna tidak sedih, kerana Nabi sendiri pernah bersedih. Tetapi kesedihan itu diadukan kepada Allah, bukan dijaja kepada orang.

Ini beza yang halus tetapi besar. Ramai orang bersabar, tetapi sambil merungut. Bertahan, tetapi sambil menyalahkan keadaan dan orang lain. Itu sabar juga, cuma tidak indah.

Ayat ini turun kepada Nabi ketika Baginda diejek dan dicabar oleh orang yang meminta azab disegerakan. Dalam keadaan itu Allah mengajar satu sikap: bersabar dengan cara yang cantik.

Buat kita yang bekerja dalam dakwah, ujian kita mungkin lebih kecil. Program yang tidak menjadi. Ahli yang menghilang. Sokongan yang tidak datang. Kritikan dari dalam saf sendiri.

Semua itu ruang untuk melatih sabar yang indah. Simpan keluhan itu untuk sujud, bukan untuk status.