Al-Raqaiq

Madrasah Malam dan Makna Ikhlas

Wahai malam, berqiyam padamu adalah madrasah tentang makna ikhlas, lalu aku berpegang dengannya sebagai suatu jalan hidup.

Dinukilkan dalam Al-Raqaiq, Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rashid

Ar-Rashid menyebut mengenali erti ikhlas dan merasai kepalsuan angan-angan dunia itu antara kurniaan utama madrasah malam.

Perhatikan perkataan madrasah. Bukan ibadah sahaja, tetapi tempat belajar. Dan yang diajarnya ialah ikhlas. Kerana pada waktu itu tiada sesiapa melihat dan tiada pujian menanti. Di situlah niat diuji dengan paling jujur.

Seorang daie yang banyak beramal di hadapan orang, tetapi kosong ketika sendirian, sebenarnya sedang membina sesuatu yang rapuh. Sebab itu Ar-Rashid meletakkan sudut ini sebagai perkara yang wajib ditekan dan diperdalamkan dalam sistem tarbiah kita.

Malam ini, cuba bangun walau sebentar. Bukan untuk menambah amal, tetapi untuk menguji siapa sebenarnya yang kita cari.