Nasihat Buat Da'ie

Semakin Lama dalam Saf, Semakin Halus Ujiannya

Makin kuat iblis menghasut kita, hasutan dia bukan makin jelas. Makin halus, makin tak nampak.

Abu Haajar, aktivis Mukmin Perintis

Ada satu andaian yang menipu ramai orang dalam dakwah. Kita menyangka semakin lama kita dalam tarbiah, semakin selamat kita daripada tergelincir.

Benar bahawa kita semakin kuat. Tetapi kita lupa bahawa pihak yang menghasut pun menyesuaikan cara dengan tahap kita.

Ketika tahun pertama, kita diuji dengan malas. Ujiannya kasar dan senang dikenali. Kita tahu kita sedang cuai. Selepas lima belas tahun, ujian itu bertukar wajah. Riya. Takabur. Sum'ah.

Inilah yang paling berbahaya, kerana ketiga-tiganya datang berpakaian amal. Malas mudah dikenali, sebab kita tidak buat apa-apa. Tetapi riya datang ketika kita sedang sibuk berbuat. Takabur datang ketika kita memang ada ilmu. Sum'ah datang ketika kerja kita memang berjaya.

Sebab itu Mustafa Masyhur dan Fathi Yakan menulis tentang punca keguguran dan virus dakwah. Buku-buku itu bukan ditulis untuk orang baharu. Ia ditulis untuk orang yang sudah lama berada di dalam.

Maka muhasabah seorang daie lama tidak sama dengan muhasabah daie baharu. Soalannya bukan lagi adakah aku beramal, tetapi untuk siapa aku beramal.

Semakin tinggi kedudukan kita dalam saf, semakin senyap ujian kita.